Salam Ramadhan semua...
Siapa tak kenal,
kurma yang paling popular di Malaysia.. berjenama Yusuf Taiyoob, iaitu
bersempena dengan nama big big boss nya sendiri iaitu Datuk Yusuf Taiyoob.
Hari-hari asyik dengar iklan Yusuf Taiyoob di radio dan TV.. Kalau akhbar tu
xpayah cakap la.. siap full page lagi tu..
Yang menarik, kompleks kilangnya terletak di lokasi strategik iaitu
bersebelahan Lebuh Raya Utara Selatan, sekali gus ribuan pemandu tidak akan
terlepas pandang melihat bangunan berwarna coklat cair itu dengan nama Yusuf
Taiyoob terpampang besar di satu sudut.
Nama Yusuf Taiyoob memang tidak asing lagi di negara ini kerana sering
dikaitkan dengan kurma, apatah lagi jika disebut nama seperti Safia, Wasem,
Safina, Amina, Ajmal, Ajwa dan Kurma Madu Yuta.
Oleh itu tidak keterlaluan beliau layak digelar ‘Raja Kurma Malaysia’,
malah anak sulung daripada empat beradik itu turut mengakui Yang Dipertua
Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, pernah memanggilnya dengan gelaran
‘Datuk Kurma’.
Kini syarikat miliknya, Yusuf Taiyoob Sdn Bhd (Yusuf Taiyoob) menjadi pembekal
terbesar pelbagai jenis kurma dan produk mentah makanan kering serta basah dari
luar negara untuk pasaran di Malaysia dengan kira-kira 3,000 rangkaian pengedar
di seluruh negara.
Prinsip utama dalam hidup Yusuf ialah beliau tidak suka bekerja dengan
orang lain atau bergelar pekerja tetapi lebih suka menjadi bos biarpun terpaksa
melalui pelbagai kesukaran dan pengalaman pahit.
“Saya menghadapi banyak kesukaran dalam perniagaan pertama saya iaitu
menjual minyak wangi. Pada masa itu saya berumur 21 tahun dan ada pihak
langsung tidak memandang saya, tetapi saya bersyukur mendapat bantuan keluarga.
“Itu menyedarkan
saya, apabila anda tiada kepentingan atau daripada syarikat kecil, orang tidak
akan pandang langsung, malah anda akan ditendang ke sana ke sini,” kata bapa
kepada tiga anak itu.
Yusuf yang masih kelihatan muda dan bertenaga meskipun usia mencecah 50
tahun berkata, selepas gagal dalam perniagaan minyak wangi, beliau mencuba
pelbagai perniagaan lain, termasuk mengedar produk bunga safron, biji gajus,
makanan kering dan rempah.
Beliau kemudian mencari bentuk perniagaan baru, walaupun menyedari
kesulitan bakal dihadapi hinggalah terfikir untuk menjadi pembekal kurma di
negara ini.
Walaupun menyedari wujud persaingan pada waktu memulakan perniagaan kurma
pada 1990, beliau percaya sudah ada pelanggan tetap, selain harga berpatutan
dengan jaminan produk berkualiti.
Yang penting, menurut Yusuf, seseorang perlu tahu tahap mana kemampuan
mereka untuk bersaing dalam perniagaan yang penuh cabaran dan berliku-liku
meskipun sedar kadangkala pesaing sanggup membuat apa saja dalam perniagaan
mereka.
“Selain itu kita perlu bersyukur dengan rezeki diberikan Allah dan jangan
cepat lupa diri,” katanya yang sentiasa merancang bentuk jenis iklan yang mahu
disiarkan setiap kali menjelang Ramadan.
Dalam usaha memastikan semua produk edarannya dijamin berkualiti dan
segar, beliau membelanjakan kira-kira RM5 juta untuk menggunakan teknologi
terkini dalam mengendalikan stor simpanan sejuk bekunya.
Teknologi yang
diimport dari Amerika Syarikat itu membolehkan sebarang kebocoran gas amonia
dapat dikesan lebih awal. Sistem itu mampu memberi amaran awal secara automatik
jika berlaku kebocoran.
Ketika ini kompleks itu memiliki enam stor simpanan sejuk yang mampu
memuatkan kira-kira 7,000 tan barangan satu-satu masa dan dua stor simpanan
kering untuk kira-kira 3,000 tan barangan.
Syarikat itu ketika ini mengimport antara 200 hingga 300 pelbagai jenis
makanan daripada buah kurma, minyak zaitun, kacang dhal hingga kepada rempah
ratus dari kira-kira 30 negara, antaranya Amerika Syarikat, Iran, Dubai, Afrika
Utara dan Arab Saudi.
Bagi memastikan stok kurma mampu memenuhi permintaan pasaran, Yusuf
memesan dan menyimpan stok berkenaan tiga bulan lebih awal dan sebaik saja
musim perayaan tamat, beliau mula memesan stok untuk menyambut Ramadan tahun
depan.
Menceritakan sejarah awal pembabitannya dalam perniagaan kurma, beliau
pernah berdepan cabaran pertama apabila dua kontena (40 tan) kurma yang
diimport dari Iran tidak berapa elok, namun beliau tidak panik.
Ini menyebabkan Yusuf pergi ke Iran untuk menemui pengeluar kurma supaya
tidak menghadapi masalah sama pada masa akan datang.
“Keadaan berubah apabila saya mempunyai lebih pengalaman berbanding pada
awal pembabitan. Dulu, disebabkan percayakan pengeluar dan pembekal dari sana
(Iran), akhirnya saya terkena,” katanya.
Beliau berkata, syarikatnya mengambil masa antara 10 hingga 12 tahun untuk
dikenali sebagai pembekal kurma di negara ini, selain kurma edarannya turut
menembusi pasaran di Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.
Pada masa ini syarikatnya mengedar lebih 10 jenis kurma seperti Rotab Bam,
Safia, Mariami, Safina, Ajwa, Jewel, Ajmal dan Anbara yang dijual pada harga
berpatutan.
Kurma mempunyai tiga peringkat iaitu khalal (kurma muda), rotab (kurma
madu) dan thamar (kurma kering) diperolehi dari Tunisia, Oman, Iran, Afrika
Selatan, Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
“Dalam menjual kurma, kita perlu membuat penjenamaan dan teknik
pembungkusan yang elok. Apabila ada jenama, orang mudah kenal produk sebelum
membelinya, malah saya menitikberatkan aspek kualiti kerana keutamaan kami
ialah kepuasan pelanggan.
“Saya juga memberi jaminan kepada pelanggan, kurma yang rosak boleh
diganti dengan kurma yang lain,” katanya yang boleh dianggap sebagai satu
daripada pengimport terbesar produk makanan di rantau Asia kerana kebanyakan
produknya diimport dari lebih 30 negara.
Malah, Ramadan ini beliau sibuk membekalkan kurma kepada peniaga selepas
mendapat banyak bekalan kerana sesuai dengan musim kurma pada Ogos, September
dan Oktober.
Walaupun sibuk menjalankan perniagaan, kata Yusuf, beliau tidak pernah
lupa untuk memberi bantuan kepada golongan kurang bernasib baik.
“Kita kena bantu orang susah sebab saya rasa seronok apabila mampu
mengurangkan beban mereka, kalau ada lebih kita kena bersedekah dan beringat
bahawa rezeki dikurniakan Tuhan,” katanya.
PROFIL
NAMA:Datuk Yusuf Taiyoob
JAWATAN:Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd
ASAL:Georgetown, PulauPinang
UMUR:51tahun
ISTERI:Datin Yusnita Ramli
ANAK:Waseem(9), Safiya(6) dan Safina(3)
ADIK-BERADIK:Anak sulung daripada empat beradik
JENIS PERNIAGAAN: Kurma, makanan dalam tin, rempah, makanan kering dan jus buah-buahan
Rupa-rupanya nama kurma adalah
sempena dengan nama anak-anak beliau!! wahhhh!!
*stok kurma Yusuf Taiyoob, dah nak habis kat rumah, kena cari ni...*
.
0 comments:
Post a Comment