Assalamualaikum semua..
Salam Israk dan Mikraj
Salam Israk dan Mikraj
PERISTIWA
ISRAK DAN MIKRAJ
Sempena
bulan Rejab yang banyak keberkatannya ini, ruangan ilmu kali ini menyorot
peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah.
Penerangan yang diberikan adalah bersifat sepintas lalu, dan dicadangkan agar
anda merujuk kepada ahli agama yang benar dan bertauliah seperti ustaz atau
guru yang berkenaan bagi mendapatkan fakta dan huraian selanjutnya.
Ringkasan
Peristiwa Israk Dan Mikraj
Sebelum
Israk dan Mikraj
Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut,
dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan
air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah
S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin
nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk
ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan
"Israk" itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke
Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu
(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail
supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat
berkenaan ialah:
i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan
melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima
wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W.
menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :
§ Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman
mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum
lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. dibertahu oleh
Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan
pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih
banyak.
§ Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu
oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun)
bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk
menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman
kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).
§ Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka.
Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula.
Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah
orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
§ Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka
(qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang
ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail :
Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
§ Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging
mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail:
Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan
itu masing-masing mempunyai isteri / suami.
§ Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan
batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.
§ Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya
memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak
dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
§ Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir
mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah
dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
§ Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku
tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia
(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
§ Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang
sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang
yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
§ Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan
pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah
dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan
mengutamakan dunia daripada akhirat.
§ Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail:
Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.
§ Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua
dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan
segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua
bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata
Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya
ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah ):
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga.
Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke
pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
i. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat
orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina
yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung
pada susu penzina perempuan.
ii. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga
langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya
A.S.
iii. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi
Yusuf A.S.
iv. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu
dengan Nabi Idris A.S.
v. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan
Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
vi. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu
dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala
(disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
vii. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk
langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang
bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah
S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah
pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah
untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA
QUWWATA ILLA BILLAHMengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda,
"Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik
tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH,
WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA
QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah
ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa
peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur
dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
viii. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut
"al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air
yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah,
daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi
permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan
itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula
sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
ix. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke
Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di
dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir,
hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
x. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T.
dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah
dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah S.W.T : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah S.W.T : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami
perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai
Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan
Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi.
Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada
sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.
Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan
orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan
ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku
perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku
buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri
keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat
(surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku
berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di
bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan
amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka
Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu
dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi
Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah
S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah
waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan
lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj
Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya
turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa
yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat
ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27
Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.
(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)
Kesimpulannya:
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah
sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih
penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi
meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa
Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati
Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari
dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk
menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).
Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada
mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat
yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu
Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada
Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang
telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke
Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan
kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah
Maha Mendengar lagi Maha Melihat."
(Surah Al-Israa': Ayat 1).
0 comments:
Post a Comment