Monday, November 9, 2009

10 'k'

Agak lama jugak saya tak update blog ni, bukannyer apa sejak berjinak2 dengan fb ni tambahlagi tengah asyik bercucuk tanam dekat farmville.
sampaikan hb perli "bukannya dapat hasil pun"hiks..
sambil2 tu jengah jugak blog member2, mana yang boleh dikongsi saya copy paste untuk dibuat renungan bersama.

Setiap orang dianugerahi Allah dengan kelebihan, kebaikan dan keindahan masing-masing. Begitu juga dengan kekurangan, keburukan dan kelemahan masing-masing.

Begitulah sunnatullah. Begitu indah sekali aturan-Nya. Betapa adilnya Dia, menciptakan setiap benda secara seimbang.

Begitu juga halnya dalam persahabatan. Setiap sahabat mempunyai keistimewaan yang telah ditetap Allah sejak azali lagi. Ada sahabat yang kasar, tetapi lembut hatinya, ada sahabat yang nakal, tetapi suka mengambil berat, ada sahabat yang garang, tetapi sebenarnya adalah penyayang dan pelbagai lagi. Macam-macam corak sahabat yang kita boleh dapati setelah bersahabat dengan seseorang.

Setelah menimba pengalaman bersahabat dengan ramai orang, saya ingin membuat kesimpulan mengenai 10 ‘K’ yang perlu dalam sesebuah persahabatan.

“Friendship is an onion. It has many layers in it. Adds taste to your life, but if you try to cut it you will get nothing but tears!”

10 K dalam PERSAHABATAN

* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, “uhibbuka/i fillah” (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah).

* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

* KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah.

* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan?

* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe).

* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.

* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.

* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.

* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, “Kau cantik, aku mesti cantik,” “Kau kaya, aku pun kena kaya”. Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).

Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan.

“Adakah anda dan sahabat anda mengamalkan 10 K ini?”

pasti jawapannyer ada pada diri sendiri.

0 comments: